"Setelah diturunkan ke dunia fana, Adam dan Hawa bertemu kembali dan jadilah mereka suami isteri yang saling mencintai, sedang Hawa telah pun menjadi bidadarinya yang pertama di syurga.
Inilah kunci rahsia pertama."
Dikhabarkan bahawa dahulunya ada sebuah cerita bidadari yang hanya berlegar di kalangan kaum Hawa dan dirahsiakan sepenuhnya daripada kaum Adam. Bagaikan kisah dongeng yang diceritakan oleh si ibu kepada si anak perempuannya, cerita itu tidak diberi nama melainkan kisah perbalahan para sufi yang berhujah tentang sifat bidadari Allah, bagaimana sunnahnya bidadari itu disyurga dan ciri-ciri sebenar wanita soleh yang melayakkannya dimartabatkan selaku ketua bidadari di syurga. Kerana amalannya tiada kaitan dengan para sufi di kalangan lelaki, lalu ditulis dan diangkatnya menjadi hikayat agar mana-mana gadis yang bakal bergelar isteri mampu dijelmakan menjadi bidadari jadianNya... sekaligus menjadikan status hikayat ini amat dihajati oleh mana-mana gadis yang pernah dikhabarkan tentang kewujudannya. Kisah lagenda ini menjadi kunci yang menyatukan satu demi satu rahsia dan lagenda rahsia yang didakwa telah dipadamkan secara terancang oleh pihak orientalis Barat, penjajah dari kaum musyrikin. Mereka mengambil sebahagiannya dan dijadikan fitnah sementara meninggalkan sebahagian yang lain.
Akhirnya, pencarian kami membawa kepada kunci terakhir, cinta Mumtaz Mahal. Baginda permaisuri telah meninggalkan kisah yang disebut-sebut dan mirip kepada beberapa tanda rahsia yang menunjukkan baginda telah diperdengarkan tentang hakikat bidadari Allah itu... Sedang dunia asyik memandang keindahan tugu cinta Taj Mahalnya, kami pula tercari-cari peninggalan Mumtaz Mahal berkaitan cerita itu. Akhirnya, kami berjaya mencantumkan hampir keseluruhan kunci dan walaupun tidak selengkap cerita asal tetapi apa yang berada ditangan kami sudah cukup membuat mana-mana gadis dunia tidak tidur lena selagi hikayat ini belum berada dalam genggamannya! Cinta Mumtaz Mahal ialah kunci terakhir yang menyatukan seluruh hikayat yang didakwa dihapuskan oleh orientalis Barat. Lihatlah hasil mereka, anak-anak kecil hari ini telah terdidik dengan cerita dongeng jahiliah dari Barat seperti Cinderela, Snow White, Sleeping Beauty dan banyak lagi - tujuan hanya satu iaitu memesongkan matlamat, tujuan dan cita-cita sebenar penciptaan kaum Hawa yang saling melengkapi tugas kaum Adam.
Mumtaz Mahal, dialah permaisuri yang dikenali di seluruh dunia melalui makamnya yang terindah, Taj Mahal, salah satu monumen yang diangkat satu daripada 7 Keajaiban Dunia terletak di Agra, India. Taj Mahal, di dalamnya terletak makam seorang isteri kesayangan sang raja dan rajanya sendiri, Shah Jahan, pemerintah empayar dinasti Mughal di Asia Selatan. Permaisuri ini menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tanggal 17 Jun 1631, 380 tahun yang lalu. Hari ini Taj Mahal masih berdiri menjadi lambang cinta agung sang raja kepada permaisurinya. Taj Mahal masih lagi berdiri dan menjadi simbol cinta sang raja. Tiada siapa yang tahu rahsia yang lebih agung yang disembunyikan oleh simbol cinta terkenal di seluruh dunia itu.
Taj Mahal bukanlah sekadar tanda cinta agung sang raja, Shah Jahan kepada Mumtaz Mahal seperti yang diketahui umum. Taj Mahal ialah tanda besar kemuliaan dan kejayaan yang dizahirkan kepada dunia tentang wujudnya sang isteri, ibu dan permaisuri yang berjaya menawan cinta dan keredhaan sang suaminya hingga nafasnya yang terakhir. Taj Mahal ialah bukti besar ketaatan, kecintaan dan pengorbanan Mumtaz Mahal kepada Shah Jahan. Jika inilah mesej yang difahami oleh sesiapa jua yang menziarahnya, tidakkah mereka tertanya-tanya bagaimanakah dan apakah yang telah dilakukan oleh Mumtaz Mahal bagi memenangi hati suaminya yang tercinta, seorang raja sebuah empayar yang pastinya bukanlah tugas yang calang-calang bagi seorang gadis biasa berada di kedudukan permaisuri sebuah empayar yang besar. Betapa ramai insan yang terlepas pandang menjejaki rahsia teragung sang permaisuri ini ketika dibuai dengan keasyikan keindahan Taj Mahal yang indah itu sendiri.